Wanita UMNO Melaka yakin menang PRU15 – Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

ALOR GAJAH 16 Oktober – Wanita UMNO Melaka yakin mampu merampas kembali kerusi Parlimen yang ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita UMNO Melaka Datuk Latipah Omar berkata, pelbagai taktik dan sentimen digunakan pihaknya bagi mengalahkan pihak pembangkang semasa pilihan raya tersebut.

“Kami Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap semua enam bahagian telah bersiap sedia, kajian sikap lebih 85 peratus telah kita laksanakan, selebihnya adalah pengundi muda.

“Bagaimanapun kerja-kerja turun padang ini kita teruskan kerana kadang-kadang sikap pengundi berubah, tapi kita ada tips yang baik untuk kalahkan pembangkang.

“Ini merupakan hala tuju Wanita, JR (jalinan rakyat) turun padang dan kita dah mula kerja daripada kesinambungan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, kita teruskan dengan kerja lebih kerap.

“Penyusunan JR kita dah buat yang terbaik, kerja wanita UMNO sudah maksimum, bila dah umum bubar kita hanya menanti saat untuk memilih sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu; Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid; Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah, Dayang Senandong Moomin dan lain-lain perwakilan.

Mengulas lanjut, Latipah percaya parti Barisan Nasional (BN) akan diterima rakyat khususnya di Parlimen Masjid Tanah.

“Kita percaya BN akan diterima oleh rakyat khususnya di Masjid Tanah, insya-Allah kita akan ambil balik hak UMNO iaitu BN.

“Hari ini kita bawa kertas PRN yang lalu untuk memberi motivasi kepada kira-kira 2,000 JR, mereka ini sudah tahu siapa pengundi putih dalam jagaan mereka yang akan dibawa keluar bila sampai waktunya,” katanya.

Ujarnya, setakat ini kira-kira 54 peratus ahli wanita UMNO di Parlimen Masjid Tanah menjadi tulang belakang BN.

“Kita lebih pentingkan parti BN daripada calon itu sendiri, calon itu nombor dua dia menang nanti dia tahu apa yang perlu dibuat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1847
Kongsi :
Previous post PRU15: Henti sabotaj, pastikan kemenangan BN – PM
Next post Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul
Ubah saiz-+=