Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul

IPOH, 16 Okt – Seorang lelaki warga emas dipercayai gelandangan, maut dipukul di lorong berhampiran kaki lima Jalan Leong Sin Nam di sini awal pagi tadi.

Difahamkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 68 tahun itu pada kira-kira 5.20 pagi tadi.

Mangsa dipercayai dipukul serta ditendang dan polis telah menahan suspek yang juga gelandangan berusia 51 tahun dalam masa yang singkat.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan berkata pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di bahagian dagu disebabkan senjata tajam dan calar di kedua-dua tangan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Mohd Yusri berkata suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pagi ini mendapati masih terdapat kesan darah di lorong jalan itu dipercayai milik mangsa.

Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran yang enggan dikenali memberitahu dia terdengar bunyi bising dan kaca pecah seperti berlaku pergaduhan ketika menyiapkan makanan pada kira-kira 5 pagi.

“Saya terus keluar untuk melihat kejadian dan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan untuk mangsa itu yang biasa dilihat tidur di sekitar kawasan ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Previous post Wanita UMNO Melaka yakin menang PRU15 – Latipah
Next post Program Selawat Mega disambut dalam acara rasmi