Warga emas hasilkan ciptaan inovatif

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 9 Dis. – Hasil daripada daya kreatif dan inovatif seorang usahawan tani warga emas, sektor penanaman cili padi bara melalui sistem fertigasi yang diusahakannya berjaya ditingkatkan.

Usahawan tani di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini membuktikan usia yang sudah lanjut bukanlah penghalang untuk mencapai kemajuan, asalkan ada kemahuan serta tidak mengenal erti putus asa.

Pada usia 65 tahun, Othman Sudin masih mampu memanfaatkan ketajaman fikiran untuk mencipta sistem baharu bagi menyalurkan air dari paip utama ke paip kecil yang berfungsi mengairi pokok cili padi bara dalam beg poli.

Hasil daya kreatif dan inovatifnya, Othman berjaya mencipta sistem penyaluran air atas dari paip utama ke beg poli pada kedudukan kira-kira 0.38 meter dari tanah berbanding sistem paip konvensional di atas tanah.

Segalanya bermula apabila paip saluran air ke beg poli konvensional yang diletakkan di atas tanah sering tercabut akibat diganggu monyet dari hutan berhampiran kebun cili padi baranya di kampung berkenaan.

“Sejak mengusahakan kebun cili padi bara secara fertigasi sejak lima tahun lalu, paip yang berada di atas tanah sering tercabut akibat ditarik oleh monyet atau terkena kaki haiwan itu ketika banyak haiwan itu masuk ke kebun.

“Bagaimanapun, bagi musim penanaman pada awal tahun ini, saya mengubah sistem penyaluran air paip dari paip atas tanah kepada sistem penyaluran air atas bagi menggantikan sistem paip di atas tanah,” katanya ketika ditemui di kebunnya hari ini.

Hasil daripada penggunaan sistem baharu itu membolehkannya mengesan paip kecil yang tercabut yang menyebabkan air tidak sampai ke dalam beg poli, katanya.

Katanya, berbanding keadaan sebelum ini, paip kecil yang tercabut sukar dikesan dan mengakibatkan beg poli kekeringan, sekali gus menyebabkan pokok cili mati kerana kekurangan air.

Walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi bagi memasang sistem baharu itu, Othman bukan setakat berpuas hati kerana mampu mengesan paip yang tercabut dengan lebih mudah, malah menikmati hasil tuaian cili bara yang lebih tinggi.

Katanya, air yang dipam secara automatik dari tangki ke paip utama sebelum disalurkan ke beg poli harus dipastikan sentiasa dalam keadaan sempurna semasa pokok membesar dalam tempoh dua bulan sebelum mencapai usia matang.

“Selepas dua bulan buah cili mula terhasil dan ketika itu juga sistem pengairan amat penting bagi memastikan buah cili membesar dengan baik tanpa sebarang penyakit,” katanya.

Jelasnya, kaedah penggunaan sistem baharu itu tidak ditimba daripada usahawan tani yang lain, sebaliknya kebunnya menjadi tumpuan usahawan tani lain yang ingin menimba ilmu mengenainya.

Katanya, kebanyakan usahawan tani berkenaan sudah mencuba memasang sistem paip berkenaan dan berpuas hati dengan keberkesanannya dalam menyalurkan air ke beg poli, selain lebih mudah dikesan, jika tercabut.

Views:

823
Kongsi :
Previous post Pengayuh beca hargai inisiatif Belanjawan Melaka 2021
Next post Melaka bentang belanjawan lebihan 2021
Ubah saiz-+=