Melaka bentang belanjawan lebihan 2021

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Kerajaan Negeri Melaka hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2021 bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’.

Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali itu memberi fokus utama pemulihan ekonomi pasca COVID-19, yang mengutamakan kebajikan rakyat, dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif-inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat Melaka.

Belanjawan kali ini memperuntukkan perbelanjaan mengurus sejumlah RM445.86 juta bagi perbelanjaan keseluruhan yang mana ia menunjukkan peningkatan RM55.96 juta atau 14.32 peratus berbanding 2020 iaitu berjumlah RM390.22 juta.

Sulaiman berkata, perbelanjaan bekalan mendominasi nilai peruntukan yang ditetapkan iaitu berjumlah RM436.38 juta atau 98 peratus daripada belanja keseluruhan.

Ia merangkumi RM177.54 juta untuk perkhidmatan dan bekalan; RM142.20 juta (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM111.87 juta (emolumen); RM3.97 juta (aset) dan RM0.59 juta (perbelanjaan lain).

Selain itu, RM75 juta pula diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang mana ia meningkat RM5 juta berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah perbelanjaan pembangunan itu, RM53.74 juta merupakan sumber perbelanjaan daripada hasil negeri sendiri, manakala sebanyak RM21.26 juta merupakan pemberian Geran Tahap Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menariknya, buat kali ke-17 berturut-turut iaitu sejak 2005 belanjawan yang dibentangkan di negeri ini mencatatkan belanjawan lebihan (surplus).

Bagi tahun 2021, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil berjumlah RM445.96 juta, sekali gus menyaksikan lebihan RM100,000 berbanding perbelanjaan mengurus yang ditetapkan sebanyak RM445.86 juta.

Jumlah kutipan itu juga menunjukkan peningkatan 14.28 peratus atau RM390.22 juta berbanding tahun lalu yang mana ia akan disumbangkan daripada hasil cukai iaitu sebanyak RM155.79, juta manakala hasil bukan cukai pula dianggarkan berjumlah RM272.28 juta.

“Manakala baki RM17.89 juta merupakan Terimaan Bukan Hasil daripada pemberian Kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengumumkan kejayaan kerajaan negeri mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM178.39 juta kepada Kerajaan Persekutuan iaitu pengurangan sebanyak 21.71 peratus daripada RM821.63 juta pada 2019 kepada RM643.24 juta pada tahun ini.

 

Views:

375
Kongsi :
Previous post Warga emas hasilkan ciptaan inovatif
Next post Bonus setengah bulan gaji buat penjawat awam Melaka
Ubah saiz-+=