Warga emas, menantu tak serik seleweng diesel bersubsidi
BUKIT RAMBAI 2 Mac – Seorang warga emas dan menantunya yang dipercayai menjalankan kegiatan menyeleweng minyak diesel subsidi ditahan kali kedua di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, kedua-dua lelaki terbabit antara lima lelaki yang ditahan sepasukan polis dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Menurutnya, lelaki berusia 60 tahun dan menantunya 34 tahun itu sebelum ini pernah ditahan dalam satu serbuan di Johor pada tahun lalu dan mereka sekali lagi ditahan buat kali kedua malam tadi.
“Dalam serbuan itu sejumlah 26,000 diesel yang disyaki untuk dijual di pasaran gelap berjaya dirampas.
“Ketika serbuan terdapat lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh di dalam gudang berkenaa, kesemua mereka dianggarkan berusia antara 25 hingga 60 tahun.
“Pemeriksaan lanjut di dalam gudang itu kami menemui sebuah lori tangki berisi 23,000 liter diesel serta sebuah tangki lagi yang di dalamya mengandungi 3,000 liter yang dianggarkan berjumlah hampir RM90,000,” katanya pada sidang media di gudang terbabit, hari ini.
Ujarnya, serbuan yang diketuai Pegawai Turus Risik Briged Tengah PGA, Asisten Superintendan Sohaimi Hasim itu adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
“Semua diesel ini dipercayai dibeli anggota kumpulan itu di stesen minyak sekitar Melaka sebelum membuat pengumpulan di gudang terbabit dan dijual di pasaran gelap.
“Mereka dikatakan membeli diesel ini dengan jumlah maksimum dibenarkan sekitar RM500 di setiap stesen minyak menggunakan lori tiga tan yang diubah suai sebelum dipindahkan ke lori tangki.
“Diesel ini kemudian dijual di pasaran gelap untuk kegunaan kilang dengan harga lebih rendah, malah ketika serbuan semalam juga lori tangki itu berjaya dihalang sebelum ia bergerak untuk menghantar diesel itu,” katanya.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut di premis itu juga turut menemui invois dipercayai digunakan sebagai resit jualan kepada pihak yang membeli diesel secara haram.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka, sekiranya benar mereka terbabit dengan membeli diesel yang diseleweng ini, tindakan juga boleh dikenakan kepada mereka.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM49,000 sebuah lori tiga tan, lori tangki, sebuah pam dan kereta yang kesemuanya dianggarkan berjumlah hampir RM400,000,” katanya.
Ujarnya, siasatan lanjut dijalankan pihaknya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.