Warga Thailand antara enam ditahan miliki dadah di Pasir Mas

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KOTA BHARU, 13 Julai – Enam lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas pada 11 Julai dan semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata hasil penahanan kesemua suspek pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah jenis heroin, pil Yaba dan ganja yang dianggarkan bernilai lebih RM22,000.

“Dalam serbuan pertama (11 Julai) pada pukul 7 malam di kawasan bendang padi di Kampung Slow Machang, empat lelaki tempatan ditahan dan menemukan dadah jenis heroin seberat 15.93 gram serta 60 biji pil Yaba dianggarkan bernilai RM6,600.

“Hasil semakan mendapati kesemua yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau serta positif dadah dan direman bermula semalam hingga 18 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada pukul 4.30 petang di Meranti, seorang lelaki tempatan dan warga Thailand ditahan dan ganja seberat lima kilogram dianggarkan bernilai RM15,500 turut dirampas.

“Semakan rekod mendapati warga tempatan tersebut mempunyai dua rekod berkaitan dadah, manakala kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamin,” katanya menambah kedua-dua suspek akan ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post ‘Malam yang hangat’ di Cherana Putih
Next post Kamilia impi jadi jurukimpal dalam air
Ubah saiz-+=