‘Malam yang hangat’ di Cherana Putih

Masa Membaca:3 Minit, 27 Saat
TABOH NANING 13 Julai – Kedudukannya yang dikelilingi kawasan tanah tinggi menjadikan suasana sekitar Air Panas Cherana Putih, di sini, lebih nyaman dan selesa bagi mereka yang gemar berendam.
Selain menjadi lokasi berkelah pada waktu malam dan ‘healing’ kerana suasana malam yang nyaman, air panas semula jadi di kawasan itu, dikatakan mempunyai khasiat untuk membantu mereka mengalami masalah kesihatan.
Menuju ke Air Panas Cherana Putih juga tidak lama kerana terletak lima kilometer sahaja dari Plaza Tol Simpang Ampat atau mengambil masa 15 minit bagi yang memandu.
Mengikut kebiasaan lokasi riadah malam itu agak lengang pada hari biasa, namun meriah dengan pengunjung tempatan dan luar Negeri Melaka setiap hujung minggu serta cuti umum.
cerana putih 3
AWARUDDIN (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung yang hadir di tempat mandian kaki di kolam Air Panas Cherana Putih, Alor Gajah. Foto: MR. AZLI
KONSEP BERKELAH MALAM DIKETENGAHKAN
Pengurus Air Panas Cherana Putih, Awaruddin Abd Rahman berkata, pihaknya mengetengahkan konsep ‘berkelah malam’ seisi keluarga untuk menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi pelancongan itu.
Katanya, beberapa kolam mengikut suhu air panas dan kedalaman yang berbeza disediakan untuk pengunjung berendam atau bersantai bersama ahli keluarga.
“Kita mempunyai kolam air panas dan suam selain perigi air panas dengan suhu berbeza buat semua golongan usia.
“Suhu kolam air panas kita bermula dari 40 hingga 60 darjah celcius bagi kolam yang mempunyai punca mata air panas,” katanya.
MISTIK DI CHERANA PUTIH
Menurut Awaruddin, lokasi kolam air panas itu yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan beberapa buah rumah membuatkan ramai tersesat dan gagal menemui pintu masuk pada waktu malam.
Popular dengan panggilan ‘kolam air panas misteri’ ia langsung tidak menggentarkan atau menghalang pengunjung untuk terus singgah ke Air Panas Cherana Putih.
“Kami mengambil alih Kolam Air Panas Cherana Putih ini pada 2019, sebelum pandemik COVID-19. Pelbagai kerja naik taraf dilakukan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung.
“Ada juga kisah mistik yang menjadi bualan kononnya lokasi kolam air panas ini pada suatu ketika dahulu adalah tempat penduduk kampung datang meminjam pinggan mangkuk daripada mereka di alam sebelah setiap kali mahu buat kenduri perkahwinan.
“Tidak kurang ada mendakwa kawasan ini adalah tempat pengantara menghubungkan alam manusia dan alam bunian.
cerana putih 9
‘HEALING’ di Cherana Putih. Foto: MR. AZLI
“Namun ia mungkin hanya mitos rakyat tempatan dan sehingga kini tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan saban tahun menerima lebih ratusan ribu pengunjung,” jelasnya.
KELEBIHAN AIR PANAS CHERANA PUTIH
Menurutnya selain suhu panas air panas Cherana Putih ini mengandungi mineral, silika dan alkali tinggi yang amat baik untuk mereka yang mempunyai masalah sakit sendi, gout, insomnia dan pelbagai lagi.
“Lokasi ini juga sering menjadi tumpuan ‘healing’ semula jadi dan menyediakan mandian teknik ‘Onsen’ seperti di negara Jepun.
“Teknik ‘Onsen’ ini sudah diamalkan di Jepun dan berusia lebih 2,000 tahun memberi manfaat kepada kesihatan dalaman,” katanya.
cerana putih 8
SUASANA mandi air panas pada waktu malam. Foto: MR. AZLI
Jelas Awaruddin, perkara paling menarik di Cherana Putih adalah ia merupakan kolam air panas terpanjang di Malaysia.
Katanya, kolam itu boleh memuatkan sehingga 300 orang untuk merendam kaki pada satu masa dan mencecah sehingga 500 orang pada musim perayaan atau cuti umum.
Justeru, ia berupaya menjadi antara produk yang boleh menarik pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Kita di sini menjanjikan lokasi riadah malam dengan harga mesra B40, tiket masuk untuk semua pengunjung adalah RM7 seorang dan masa beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 12.30 malam.
“Di sini juga merupakan satu-satunya lokasi yang membenarkan orang awam untuk membawa masuk makanan luar ke dalam premis.
cerana putih 2
SUASANA malam pintu masuk hadapan kolam Air Panas Cherana Putih dihiasi lampu bagi tarikan pengunjung yang hadir di Alor Gajah. Foto: MR. AZLI
“Antara perancangan sempena TMM2024, sudah pasti untuk menambah baik infrastruktur yang sedia ada seperti menambah kawasan parkir untuk pengunjung.
“Kemudahan tempat berteduh, penambah baikan pencahayaan akan ditingkatkan supaya selepas ini pengunjung boleh mandi air panas dilimpahi cahaya neon lampu-lampu pada waktu malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3650
Kongsi :
Previous post Atlet karate terbaik Asia berhimpun di Melaka, 21-23 Julai ini
Next post Warga Thailand antara enam ditahan miliki dadah di Pasir Mas
Ubah saiz-+=