Wartawan wira tidak didendang tatkala negara dilanda wabak COVID-19 – PM Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Wartawan adalah wira tidak didendang tatkala negara dan dunia dilanda wabak COVID-19, dengan menyedia dan menyalurkan maklumat berkaitan pandemik kepada masyarakat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata wartawan sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri berdepan wabak berkenaan demi melaksanakan tugas.

Menurut Ismail Sabri, kesemuanya itu dilakukan wartawan bagi memastikan rakyat yang terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat maklumat dan mampu mengikuti perkembangan semasa tanah air serta luar negara.

“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media COVID-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari.

“Oleh kerana sumbangan besar para wartawan kepada negara, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wartawan sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini. Tahniah dan terima kasih!,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021, di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata tugas semua wartawan bukan sekadar melaporkan berita panas dan hangat tentang politik, berita kemalangan, malapetaka, tragedi atau sensasi sukan dan hiburan, malah mampu menjadi mata serta telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.

“Saudara dan saudari semua boleh membuat teguran yang bernas dan berasas bagi membantu kerajaan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Pastinya media yang bebas dan terbuka, serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia. Peranan media hendaklah senantiasa dimantapkan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan jalinan persefahaman antara kerajaan dan media akan terus subur.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata beliau maklum dan sedar tentang pelbagai cabaran yang dihadapi syarikat dan ramai pengamal media pada masa ini akibat berhadapan dengan asakan teknologi komunikasi baharu.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Premis judi dipotong bekalan elektrik
Next post Piala Malaysia: KL City tamatkan penantian 32 tahun, tewaskan JDT
Ubah saiz-+=