‘Water Taxi’ mudahkan pelancong ke Banda Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 31 Julai – Perkhidmatan ‘Water Taxi’ berfungsi sebagai pengangkutan alternatif di Banda Hilir, berjaya menarik seramai 1,363 jumlah penumpang bagi tempoh Januari sehingga 23 Julai lalu.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perkhidmatan itu merupakan antara alterbatif untuk menangani masalah kekurangan tempat meletak kenderaan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Banda Hilir.

“Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) juga menyediakan tempat meletak kenderaan secara percuma di Stesen Pengkalan Rama serta Stesen Taman Rempah.

“Selain itu, terdapat kemudahan tempat meletak kenderaan berbayar di Stesen Hang Tuah, Stesen Kampung Hulu dan Stesen The Shore, pengunjung boleh menaiki teksi ini dari mana-mana 14 jeti di Sungai Melaka Fasa 1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai laluan pengangkutan alternatif di Sungai Melaka pada hari pertama Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Jelasnya, perkhidmatan ‘water taxi’ itu juga menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menjayakan Program Melaka Car Free Zone dengan menyediakan pengangkutan alternatif kepada pelancong.

“Kemudahan ini disediakan untuk pelancong yang ingin ke Banda Hilir atau destinasi sepanjang jajaran Sungai Melaka Fasa 1 iaitu sejauh sembilan kilometer (kiri dan kanan Sungai Melaka).

“Waktu operasi water taxi ini bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam. Sistem pembayaran digunakan bagi perkhidmatan ini berbeza daripada bot biasa yang mana penumpang perlu membuat pembelian dan tambah nilai kad tanpa tunai di kaunter tiket Melaka River Cruise ataupun di dalam Water Taxi serendah RM20,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post Bukan biadab, hanya salah faham – Exco
Next post Fokus baiki pesisir pantai, berbanding bina infrastruktur
Ubah saiz-+=