WMAM galak pelajar di Melaka budayakan amalan kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 21 Jun – Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM) mempraktikkan pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah menengah menerusi program WMAM Eco Youth Challenge (WEYC) 2022.

Menurut kenyataan WMAM, setakat ini sebanyak 35 buah sekolah menengah di Melaka akan menyertai pertandingan itu bagi melatih diri mempelajari isu-isu semasa berkaitan pengurusan sisa serta amalan kitar semula.

Katanya, peserta dilatih untuk menganalisa data dan bekerja secara berpasukan bagi menangani isu-isu semasa berkaitan pengurusan sisa serta amalan kitar semula.

“Mereka juga perlu membina hubungan dengan persekitaran tempatan untuk mendorong perubahan dalam komuniti selain memupuk nilai-nilai murni seperti rasa cinta dan tanggungjawab kepada alam sekitar.

“Pada tahun 2018, program WEYC telah memberi impak positif kepada 165,600 pelajar sekolah dari tiga buah negeri di Selatan semenanjung Malaysia iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Justeru program ini diteruskan dan menerima sokongan dan kepercayaan penuh pihak Coca-Cola Malaysia dengan memberi penekanan kepada isu plastik melalui lima buah kategori yang dipertandingkan,” katanya menerusi kenyataan itu hari ini.

Antara pertandingan tersebut adalah Pertandingan Mengumpul Barangan Kitar Semula, Pertandingan Ukiran Bahan daripada Barangan Kitar Semula, Pertandingan Video Pendek, Pertandingan Mendeklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Esei.

Mengulas lanjut, WMAM, SWM Environment Sdn Bhd dan Coca-Cola Malaysia turut merangka aktiviti promosi dan jelajah pendidikan kepada 150 sekolah yang terlibat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Jelajah pendidikan ini bagi memberikan maklumat tepat dengan merangkumi kepentingan sistem ekologi, aktiviti 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dan pengurangan pelepasan karbon.

“Penganjuran WEYC 2022 juga dijangka dapat mengumpulkan sebanyak 116.12 tan sisa kitar semula iaitu sasaran peningkatan 12 peratus daripada 103.75 tan sisa kitar semula yang berjaya dikumpulkan melalui penganjuran WEYC 2018.

“Diharap program ini dapat merangsang transformasi minda dalam meningkatkan amalan kitar semula serta menggalakkan pelajar melakukan aktiviti pemeliharaan alam sekitar sekali gus mengurangkan pelepasan karbon,” kata kenyataan itu lagi.

Program itu anjuran WMAM bersama SWM Environment Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik dan Coca-Cola Malaysia melalui Yayasan CocaCola yang mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Nasi Lemak Janda mana pilihan anda?
Next post Khairy tarik balik rayuan saman fitnah Anwar
Ubah saiz-+=