Nasi Lemak Janda mana pilihan anda?

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

ADA yang manis, ada yang pedas malah ada yang lembut di masak kukus dan ada juga berbungkus berdaun pisang, itulah kepelbagaian citarasa Nasi Lemak Janda yang telah lama bertapak di negeri ini sehingga menjadi pilihan utama pelanggan tegarnya.

Nasi Lemak Janda yang beroperasi di sebuah warung kecil di Taman Malim Jaya di sini menghimpunkan kepelbagaian nama nasi lemak berdasarkan nama kawasan sekali gus membuatkan pelanggan ‘naik gila’ memilih jenis nasi lemak mana yang menjadi pilihan.

Pemilik gerai, Rafi Ahmed, 44 yang meneruskan warisan generasi keluarga sejak 32 tahun lalu berkata setiap kelainan nasi lemak ditampilkan dengan nama dari kawasan tertentu di negeri ini seperti Terendak, Peringgit, Limbongan, Malim dan Bachang.

Katanya, contohnya Nasi Lemak Bachang antara nasi lemak popular kerana dibungkus dengan daun pisang selain rasa sambalnya yang manis dan dihidangkan bersama telur.

Dia berkata, warung yang menggunakan ‘tagline’ ‘Lain Nasi Lemak Lain Rasanya’ berkonsepkan makanan mudah,cepat dan ekonomi itu mengutamakan kualiti dan dijual dengan harga yang paling murah kepada pelanggan.

“Semua nasi lemak ini dihantar oleh peniaga kecil dan dijual di kedainya dengan harga RM1.00 sebungkus yang mana setiap nasi lemak mempunyai ciri kelainannya tersendiri.

“Namun harga RM1.00 itu terpaksa kami naikkan pada bulan ini berikutan kenaikan harga barangan biarpun sejak 15 tahun lalu harga sebungkus nasi lemak cuma 80 sen sahaja di jual di sini.

“Kebiasaan nasi lemak di sini dipadankan dengan telur goreng duda goyang menjadi pesanan pelanggan tetap yang datang.

“Di sini ada nasi lemak yang sambalnya manis, ada yang pedas malah ada yang dimasak dengan pelbagai kaedah antaranya dikukus dan ditanak sendiri, (malah) dari segi pembungkusan pun berbeza kerana ada nasi lemak dibalut dengan daun pisang selain ada yang dibalut plastik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

RAFI Ahmed

Selain itu, antara tarikan yang terdapat di kedainya adalah minuman teh sarbat yang diperbuat daripada halia merupakan antara menu minuman yang menjadi permintaan tinggi di warung itu.

“Malah kami juga menjual mi dan bihun goreng dari pelbagai tempat selain ada juga kuih muih yang dihantar dari peniaga luar seperti dari Kampung Morten dan pelbagainya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai konsep itu Rafi berkata Nasi Lemak Janda merupakan idea yang diketengahkan bapanya sejak 1991 yang mahu membantu golongan ibu tunggal menjana pendapatan di warungnya.

“Dahulu warung ini hanya membekalkan nasi lemak dari ibu tunggal dari Bachang yang dijual serendah 30 sen sebungkus namun lama kelamaan kami membuka peluang kepada peniaga kawasan lain semata-mata untuk membantu usahawan kecil bersama-sama berkongsi rezeki di bawah bumbung yang sama.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memuaskan dan setiap hari sebanyak 1,000 bungkus nasi lemak berjaya dihabiskan dalam sehari.

“Rata-rata yang datang merupakan pelanggan dari pelbagai kaum dan apa yang kita nampak di sini ada semangat muhibah dan permuafakatan antara mereka kerana ramai yang boleh makan dalam satu meja mengikut pelbagai bangsa yang ada,” katanya.

Warung Nasi Lemak Janda menjalankan perniaaannya setiap hari kecuali ahad menawarkan sarapan mudah dan ekonomi kepada pelanggannya yang beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4376
Kongsi :
Previous post Empat remaja lari asrama ditemukan selamat
Next post WMAM galak pelajar di Melaka budayakan amalan kitar semula
Ubah saiz-+=