
WRUR LAMBANG KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT
GADEK 15 April – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) disifatkan sebagai manifestasi kasih sayang Kerajaan Negeri kepada rakyat secara lebih dekat, cepat, menyeluruh dan berkesan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi WRUR, pentadbiran dari Seri Negeri diturunkan ke lapangan membolehkan setiap isu rakyat dapat ditangani segera.
Katanya, WRUR pada tahun ini diperkasa di bawah payung teduhan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menghimpunkan jentera Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan setempat.
“WRUR ini bukan sekadar program. Kita membelai dan menjaga kebajikan mereka (rakyat) supaya kesejahteraan dapat dirasai bersama.
“Wakil rakyat perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mendengar sendiri suara rakyat serta memahami keperluan mereka, bukan sekadar menikmati kelebihan selepas diberi mandat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Hi-Tea Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persara Polis sempena WRUR DUN Gadek di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut hadir, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Veteran ATM dan Persara Polis Cawangan Gadek sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan itu kepada negara.
Menurut Ab Rauf, pentadbiran di bawahnya akan terus komited memastikan pelaksanaan WRUR diperkasa dalam tempoh enam bulan akan datang bagi memastikan setiap lapisan masyarakat disantuni.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memacu memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menerusi pendekatan WRUR,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

