Sorting by

×

MURAL TUAH–JEBAT SEMAI SEMANGAT WARISAN GENERASI MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GADEK 15 April – Usaha mengangkat sejarah dan jati diri bangsa perlu bermula sejak di bangku sekolah agar generasi muda terus mengenali asal-usul serta warisan yang membentuk identiti mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif melukis mural bertemakan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ bukan sekadar seni visual, sebaliknya menjadi medium pendidikan yang mampu menyemai rasa bangga terhadap sejarah Melaka.

Menurutnya, pendedahan awal terhadap tokoh lagenda seperti Hang Tuah dan Hang Jebat penting supaya generasi akan datang tidak terputus daripada mengenali siapa diri mereka yang sebenar.

“Kalau kita tidak mulakan lakaran awal tentang bagaimana hebatnya Hang Tuah dan keberanian Hang Jebat, saya bimbang generasi akan datang tidak lagi mengenali tokoh-tokoh ini.

“Melalui mural ini, sepanjang tempoh lima tahun di sekolah, pelajar bukan sahaja melihat tetapi menghayati dan memahami siapa ikon yang mereka lukis, sekali gus menjadikannya sebagai satu khazanah berharga Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan dan Sesi Menandatangani Mural di SMA (JAIM) Al-Asyraf, Pekan Pulau Sebang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sejarah kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan dunia pada kurun ke-14 membuktikan kehebatan bangsa yang pernah menjadi perhatian dunia.

Katanya, kehebatan itu turut dizahirkan melalui kebijaksanaan tokoh seperti Hang Tuah yang berperanan sebagai diplomat, sekali gus berjaya menjalin hubungan antara tamadun besar seperti China dan India sejak ratusan tahun lalu.

“Sejarah Melaka ini, jika dilipat sebesar kuku, apabila dibentang akan menjadi selebar alam. Ini menunjukkan betapa luasnya warisan kita yang perlu difahami dan dihargai,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap generasi mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan legasi kecemerlangan dengan berpaksikan sejarah yang telah dibina oleh nenek moyang terdahulu.

“Anak-anak hari ini perlu meniti kejayaan hidup dengan berpandukan sejarah. Apa yang kita tinggalkan hari ini akan menjadi rujukan dan kajian pada masa hadapan.

“Dengan kemudahan teknologi seperti YouTube dan Google, pelajar boleh mencari dan mengenali tokoh-tokoh ini dengan lebih mendalam, seterusnya menyemai semangat ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ dalam diri masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post PROMOSI APRIL LEBIH BERBALOI DI MELAKA WONDERLAND
Next post WRUR LAMBANG KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT