1,000 mualaf meriahkan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Lebih 1,000 mualaf dari seluruh negara hadir memeriahkan Program Mahabbah Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di pesisir Sungai Melaka, di sini, hari ini.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata penganjuran program tersebut merupakan usaha murni bagi merai dan menyantuni masyarakat Tionghua Islam sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, ia juga membuktikan bahawa mana-mana adat dalam sesebuah bangsa itu tidak bercanggah dengan syariat yang boleh diterima dalam agama Islam.

“Penganjuran majlis seumpama ini merupakan satu usaha yang sangat baik dan murni selain mencerminkan kekuatan bangsa Malaysia dan kesyumulan Islam itu sendiri dalam konteks negara yang berbilang kaum dan agama.

“Jelaslah bahawa Sambutan Tahun Baru Cina yang amat bermakna bagi kaum Tionghua ini tiada kaitan dengan aspek keagamaan dan hanya berteraskan budaya semata-mata dimana Islam membenarkan kita meraikannya secara bersama dalam mempertahankan prinsip toleransi dan semangat perpaduan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohamad Kori Jusoh dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis serta kenamaan lain.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Dapur Panas Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024 yang disertai 28 peserta mewakili 14 pasukan dari seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Beri harapan kepada pesakit kanser
Next post MAIM peruntuk zakat mualaf RM14.7 juta
Ubah saiz-+=