Beri harapan kepada pesakit kanser

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PANTAI KUNDOR 2 Mac – Japerun Pantai Kundor bersama UMNO Bahagian Tangga Batu memberi sinar harapan kepada pesakit kanser menerusi program Empowering Women sempena Hari Wanita Sedunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, program itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Tabung Kanser Negara bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, beliau terkesan apabila hampir setiap minggu didatangi pesakit kanser yang mahu memohon sumbangan bagi menampung kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Baru-baru ini ada empat pesakit kanser tahap 3 dan 4 yang datang memohon sumbangan disebabkan kos rawatan yang begitu besar. Justeru, kita berasa terpanggil untuk menganjurkan program seperti ini bagi membantu pesakit memandangkan kanser merupakan pembunuh senyap nombor satu dalam negara.

“Jadi, kita mengadakan kutipan dana daripada orang ramai dan agensi serta jabatan kerana kita mahu semua bersama-sama membantu dan memberi sinar harapan kepada pesakit-pesakit ini.

“Saya berharap menerusi kutipan ini, kita dapat membantu kerana saya percaya setiap satu sumbangan daripada semua dapat menyelamatkan satu nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program berkenaan yang dirasmikan isteri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datin Ernie Aidilia Karim, di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, menerusi program itu, pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menaiki jetski yang dibawakan oleh Persatuan Jetski Malaysia di Pantai Puteri.

Ujarnya, dengan bayaran serendah RM50, pengunjung boleh mengelilingi pantai dengan jetski pelbagai jenis yang disediakan yang mana bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung kanser yang telah dilancarkan.

“Dengan cara ini, kira harap ia dapat membuka mata kepada semua untuk terus memberi sokongan dan semangat kepada pesakit kanser di negeri ini dalam meneruskan kehidupan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam menjayakan program ini. Insya-Allah ini bukan program pertama dan terakhir kerana kita merancang untuk menganjurkan lagi program seumpamanya pada skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post 14 pasukan berentap dalam Dapur Panas Mualaf
Next post 1,000 mualaf meriahkan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024
Ubah saiz-+=