MAIM peruntuk zakat mualaf RM14.7 juta

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Peruntukan zakat berjumlah RM14.7 juta disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tujuan pembangunan mualaf sepanjang tahun ini.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, peruntukan itu amat penting bagi menjaga kebajikan dan memastikan nasib saudara baharu di Negeri Melaka sentiasa terbela.

Katanya, dengan menyediakan peruntukan zakat tahunan bagi golongan mualaf, ia sedikit sebanyak membantu golongan terbabit menempuh cabaran sebagai Muslim.

“Sebagai seorang Muslim, pasti akan menempuh pelbagai cabaran dan dugaan bagi menyesuaikan diri. Namun begitu, percayalah Islam ini bersifat universal dan sentiasa mempunyai remedi dalam menyokong serta membela mereka yang memerlukan.

“Justeru, saya melihat program seumpama ini boleh dijadikan sebagai satu platform dan wadah yang sangat berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan, di pesisir Sungai Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohamad Kori Jusoh dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis serta kenamaan lain.

Rosli turut menyarankan agar MAIM memperbanyakkan lagi program-program seperti itu untuk menarik minat golongan bukan Islam memahami dan menikmati keindahan Islam yang sebenar.

“Saya menyarankan agar agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat turut serta dalam memikul tanggungjawab ini agar syiar Islam terus terpelihara.

“Berdasarkan data yang direkodkan, semakin ramai orang bukan Islam yang tertarik untuk mendalami kesucian agama ini dan ia jelas membuktikan bahawa pertambahan mualaf di negeri ini memberi satu petunjuk bahawa MAIM sebagai wadah dan pihak yang berkepentingan dalam menguruskan hal ehwal saudara baharu di negeri Melaka perlu berusaha keras bagi mengekalkan kejayaan tersebut supaya lebih ramai masyarakat tertarik injakkan diri menjadi muslim,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post 1,000 mualaf meriahkan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024
Next post Ada ‘mata-mata’ di Bazar Ramadan Melaka
Ubah saiz-+=