Ada ‘mata-mata’ di Bazar Ramadan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 2 Mac – Peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, ia memandangkan pasukan pemantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa berada di setiap bazar untuk mengelakkan sebarang salah laku membabitkan harga barangan.

Menurut beliau, meskipun bermula 1 Mac, kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) naik kepada 8 peratus, namun itu bukan alasan untuk peniaga sesuka hati menaikkan harga jualan.

Jelasnya, ia memandangkan kerajaan telah memberi pelbagai bentuk subsidi untuk mengimbangi harga dan kenaikan kos sara hidup.

“Anggota KPDN akan sentiasa memantau di setiap bazar Ramadan tanpa uniform. Jadi kita ingatkan peniaga agar jangan sesekali menaikkan harga jualan tanpa alasan atau sebab yang kukuh.

“Malah, saya bersama agensi terlibat juga akan turun padang bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga secara luar biasa sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Jika didapati ada peniaga ingkar, amaran akan diberikan untuk kesalahan pertama dan jika berulang, tindakan lebih berat menanti mereka,” katanya kepada pemberita pada program Empowering Women sempena Hari Wanita Sedunia di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Tuminah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor memaklumkan, bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup, program Jualan Rahmah akan diteruskan sepanjang Ramadan ini.

Katanya, jualan tersebut akan diadakan di setiap daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan menawarkan harga paling minimum kepada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post MAIM peruntuk zakat mualaf RM14.7 juta
Next post JAKIM pastikan peruntukan sampai kepada mualaf
Ubah saiz-+=