JAKIM pastikan peruntukan sampai kepada mualaf

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited dalam memastikan setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan diterima terus golongan mualaf.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya akan terus memantau peruntukan yang diberikan kepada setiap golongan mualaf di seluruh negara.

Katanya, pemantauan dilakukan melibatkan aspek kewangan malah pelbagai program yang diaturkan itu turut dinilai, sama ada dapat memberi impak kepada golongan tersebut.

“Proses sedia ada perlu ada pemantauan kerana setiap apa yang kita peruntukan itu perlu ada laporan dan setiap bahagian serta mengukur sejauh mana program yang diaturkan itu berkesan kepada golongan mualaf.

“Kita bukan memantau dari segi kewangan tetapi apa yang penting peruntukan itu turut memberi impak besar kepada masyarakat.

“JAKIM juga akan memastikan setiap program dilaksanakan mengambil kira budaya lokaliti setempat kerana mahu semua yang terlibat, merasa dan menjadi sebahagian daripada program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Mohamad Kori Jusoh dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis serta kenamaan lain.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 mualaf dari seluruh negara dan dimeriahkan dengan pelbagai program antaranya ceramah agama, penyampaian angpau, pengkisahan sejarah kedatangan Islam dan pertandingan Dapur Panas Mualaf Peringkat Kebangsaan.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata, JAKIM akan menambah golongan pendakwah bertauliah bagi membantu golongan mualaf menerima ilmu berkaitan Islam dengan mudah.

“Golongan pendakwah yang kita ada hari ini ramai dan akan diperkukuhkan lagi. Setakat ini golongan pendakwah sedia ada daripada pelbagai kategori iaitu daripada usia muda dan senior ditempatkan di setiap negeri adalah mencukupi terutama di kawasan pedalaman.

“Bahagian dakwah di peringkat Persekutuan sudah ada pendakwah yang ditempatkan di kawasan pedalaman dan kita bekerjasama dengan majlis agama negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya, mereka akan bergerak secara bersama serta dikordinasi dan penyelarasan dibuat agar syiar Islam terus didukung oleh golongan mualaf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4596
Kongsi :
Previous post Ada ‘mata-mata’ di Bazar Ramadan Melaka
Next post Laporan berita media Melaka antara terbaik dalam negara – KM
Ubah saiz-+=