
1,000 PENARI ZAPIN, PESTA KONDA KONDI MERIAHKAN WTD 2025
OSAKA, JEPUN 4 September – Tarian zapin serumpun yang mengumpulkan 1,000 penari menjadi antara tarikan pada Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, 26 hingga 29 September ini.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad berkata, persembahan itu bukan sahaja membabitkan penari dari Melaka dan seluruh negara, malah turut melibatkan penyertaan penari dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Menurut beliau, persembahan berkonsepkan ‘flash mob’ itu akan menghiburkan lebih 3,000 delegasi dunia yang hadir pada majlis ‘Welcoming Dinner’ dan pada Gala Dinner serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
“Jadi, BPP akan bekerjasama dengan World Tourism Melaka (WTM) untuk menyelaraskan program-program sampingan (pocket show) sepanjang WTD 2025 dan antara yang diberi tumpuan adalah mengumpulkan 1,000 penari zapin ini bagi membuat persembahan.
“Penari-penari ini bukan sahaja datang dari Melaka tetapi seluruh negara, selain turut membabitkan negara serumpun untuk mempersembahkan satu keunikan seni budaya negara kepada dunia,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di World Expo 2025 Osaka bagi mempromosikan WTD dan WTC 2025.
Menurut Nasrul, selain tarian zapin, turut diadakan Pesta Konda Kondi yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 September di Encore Melaka dengan sasaran penglibatan 200 pasukan atau bersamaan 1,000 peserta.
Katanya, pesta tersebut diadakan bagi mempromosikan permainan tradisional yang telah diangkat martabatnya oleh Kerajaan Negeri kepada dunia.
“Bagi konda kondi ini, ia akan membabitkan lima pemain setiap pasukan, di mana kita menyediakan hadiah yang lebih menarik kepada pemenang.
“Pada masa sama, kita juga akan cuba untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi pertandingan konda kondi dengan peserta teramai yang pernah dianjurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.