
TYT TUNAI SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI MASJID AL-AZIM
PENGKALAN BATU 21 Mac – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 11,000 umat Islam di Masjid Al-Azim, di sini, pagi ini.
Beliau yang tiba kira-kira jam 8.00 pagi lengkap dengan sepersalinan baju Melayu berwarna biru sempat meluangkan masa menziarahi Makam Pahlawan Melaka sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Saleh dan Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Khairul Azreem Mamat.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Azhan Md Samat serta kenamaan lain.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati seawal jam 7.00 pagi, umat Islam mula memenuhi perkarangan Masjid Al-Azim untuk bersama-sama menunaikan solat sunat bagi meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Solat Sunat Aidilfitri diimamkan Imam Besar Masjid Al-Azim, Ustaz Datuk Mohammad Hashim Al Hafiz sebelum diteruskan dengan bacaan khutbah.
Jemaah yang hadir turut tidak ketinggalan bersalam-salaman dan mengambil gambar bersama Tun Dr. Mohd Ali.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


