11 lelaki didakwa berurus niaga minyak masak tanpa lesen

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

JOHOR BAHRU 6 Mei. – Sebelas lelaki termasuk tiga warga tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan berurus niaga barang kawalan berjadual minyak masak tanpa lesen, Selasa lalu.

Tertuduh warga tempatan A. Halim Main, 42; R. Kalisamy, 50; dan B. Saravanan, 28; serta lapan tertuduh warga Bangladesh berumur 23 hingga 34 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mempunyai syak yang munasabah berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 18,849 kilogram dan 4,500 liter tanpa lesen seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 4(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1947 di sebuah premis beralamat No. 6B, Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, pada 2 pagi, 4 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, dan kesalahan pada kali kedua dan seterusnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan ketiga-tiga tertuduh warga tempatan masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah, manakala lapan tertuduh warga asing tidak dibenarkan jamin.

Mahkamah menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) T. Ashvinii dan Pegawai Pendakwa KPDNHEP Johor Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selasa lalu, Bernama melaporkan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya membongkar sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang mengaut keuntungan hingga RM15 juta dalam tempoh enam bulan, dalam satu operasi di Pasir Gudang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

412
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal dituduh lakukan pengubahan wang hampir RM1 juta
Next post Polis periksa kenderaan pulang beraya
Ubah saiz-+=