Sorting by

×

12 JAM HILANG, WANITA WARGA EMAS DITEMUI TERAPUNG DI SUNGAI BELAKANG RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI RAMBAI 16 Oktober – Wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas kira-kira 12 jam dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Tasik, Sungai Rambai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan seorang wanita berusia 83 tahun pada jam 10.11 malam Rabu.

Katanya, susulan panggilan diterima itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau bersama Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM serta 24 anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Kami difahamkan mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya sejak jam 11 pagi semalam dan operasi pencarian dilakukan di kawasan sekitar bersama Unit K9 tidak menemui wanita warga emas terbabit.

“Operasi pencarian kemudian disambung pada hari ini seawal jam 8 pagi yang turut disertai Unit STORM. SAR kemudian dilakukan pada radius 500 meter di lokasi mangsa disyaki hilang termasuk pencarian di kawasan sungai belakang rumah wanita itu.

“Pada jam 11.51 pagi mangsa dilaporkan dijumpai dalam keadaan terapung tidak sedarkan diri dipermukaan air oleh pasukan penyelamat ketika membuat pencarian di kawasan sungai,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sejurus mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis, SAR kemudian ditamatkan dan anggota terlibat bertolak balik ke balai,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

939
Kongsi :
Previous post WANITA PANDU MINI COOPER LANGGAR LIMA KENDERAAN AKIBAT TERTEKAN PEDAL MINYAK