121 anak DUN Rembia melangkah ke alam dewasa

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

REMBIA 18 Februari – Seramai 121 kanak-kanak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia melangkah ke alam dewasa hari ini menerusi Program Khatan Perdana di DUN itu.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ada antara ibu bapa yang membawa anak-anak berusia bawah tujuh tahun untuk dikhatankan.

“Program hari ini cukup meriah dan kita harap ia dapat dianjurkan pada masa akan datang, daripada kategori umur kita mengikut syarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu tujuh tahun ke atas.

“Ada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk sertai program ini tetapi kita terpaksa tolak kerana umur mereka belum mencapai had ditetapkan KKM.

“Selepas hampir tujuh tahun program begini tidak diadakan, alhamdulillah sambutan hari ini sangat memberangsangkan lebih-lebih lagi ini adalah musim cuti sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan program berkenaan di Klinik Kesihatan Rembia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata ibu bapa yang membawa anak mereka untuk berkhatan secara ‘walk in’ masih diterima pada hari ini.

“Kita tiada tarikh tutup untuk berkhatan, sehingga hari ini jika ada anak-anak yang mahu datang terus ke klinik, kita terima sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post Pusat kecemerlangan TVET, sedia tenaga mahir
Next post Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk
Ubah saiz-+=