13 lagi PPR akan dibina di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TEHEL 28 Julai – Sebanyak 13 lagi projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal dibina di Melaka sekali gus memberi peluang anak jati negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah mengenal pasti 13 kawasan di seluruh Melaka bagi pembinaan PPR dengan keluasan keseluruhan berjumlah 36.26 hektar.

“Kesemua ini telah kita masukkan (permohonan) dalam Rolling Plan pertama menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan jika tidak ada kita akan sambung dalam Rolling Plan Ketiga nanti.

“Tiga belas kawasan baharu yang akan dibina ini kita kalau boleh akan kekalkan konsep sama iaitu sewa dan dimiliki (rent to own) kepada penghuni di PPR terlibat.

“Kita doakan 13 kawasan cadangan ini akhirnya akan memberikan fasiliti terbaik agar rakyat Melaka mampu memiliki rumah yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Skim Sewa Untuk Dimiliki (Rent To Own) di PPR Tehel disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh serta Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Mohd Salleh Hamidom.

PPR Tehel. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, 13 lokasi PPR yang akan dibina adalah di Lendu, Machap, Lesung Batu, Bukit Katil, Tun Kudu, Pondok Batang, Nyalas, Asahan, Masjid Baru, Paya Rumput, Sungai Udang, Durian Tunggal dan Sungai Rambai

Sementara itu, beliau turut menjelaskan setakat ini sebanyak lima PPR dibina di Melaka di mana tiga daripadanya telah siap dibina manakala dua lagi dalam proses pembinaan.

“Tiga PPR telah dibina antaranya PPR Sungai Putat menawarkan sebanyak 336 unit, PPR Tehel sebanyak 500 unit dan PPR Krubong sebanyak 600 unit ditawarkan buat anak jati negeri ini.

“Manakala dua lagi dalam pembinaan ialah PPR Klebang menawarkan sebanyak 225 unit dan PPR Tangga Batu sebanyak 120 unit dijangka akan disiapkan tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4497
Kongsi :
Previous post Kesidang Mas formula khas komunikasi dua hala pemimpin dan warga kerja UTeM
Next post Perhimpunan #Turun: Polis serah kertas siasatan esok
Ubah saiz-+=