
530 ASNAF DAN FAKIR MISKIN DISANTUNI SEMPENA WRUR DUN REMBIA
REMBIA 3 Ogos – Seramai 530 asnaf dan fakir miskin akan disantuni melalui pelbagai program kebajikan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu sejajar tema ‘Santuni Rakyat’ yang diangkat bersempena sambutan bulan kebangsaan tahun ini.
“Golongan asnaf dan fakir miskin ini telah disenaraikan untuk menerima pelbagai bentuk bantuan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Terdapat juga program pembaikan rumah oleh MAIM, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mereka yang benar-benar layak.
“Kita akan santuni mereka secara ziarah kasih dan juga melalui program kelompok,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian WRUR DUN Rembia di Japerun Rembia di sini, hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil serta Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.
Fairul Nizam berkata, penganjuran WRUR DUN Rembia kali ini juga akan diakhiri dengan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Melaka yang akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.