
1,398 GRADUAN TERIMA DIPLOMA PADA KONVOKESYEN PMM KE-23
MERLIMAU 20 Ogos – Seramai 1,398 graduan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) diraikan pada Istiadat Konvokesyen PMM Ke-23 yang berlangsung di Dewan Platinum, PMM pada 16 dan 17 Ogos lalu.
Pengarah PMM, Norizam Sekak berkata sejak ditubuhkan pada 2002, PMM telah melahirkan seramai 31,571 graduan dalam pelbagai bidang.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi melahirkan graduan holistik termasuk pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) On Campus (ToC) dan Polytechnic Social Responsibility (PSR).
“Kedua-dua program ini menterjemahkan teori kepada latihan amali di kampus dan komuniti. Maklum balas positif industri terhadap pelajar PMM membuktikan keyakinan mereka terhadap kemampuan graduan kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Konvokesyen PMM ke-23 di Dewan Platinum PMM.
Mengulas lanjut, Norizam berkata PMM terus beriltizam membangunkan institusi itu sebagai pusat TVET berdaya maju.
“Antara projek dilaksanakan sebagai pusat TVET menerusi projek Green Campus dengan pemasangan bumbung solar, penubuhan Pusat Keusahawanan Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta perancangan Artificial Intelligence Digital Centre (AIDEx) bagi memperkukuh agenda Digital Campus.
“Konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan graduan cemerlang melibatkan Anugerah Pengarah, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Ikon Kepimpinan serta Anugerah Ikon TVET,” katanya.
Untuk rekod, kadar kebolehpasaran graduan PMM pada tahun 2024 mencatatkan prestasi terbaik iaitu 100 peratus, dengan 86.4 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Daripada jumlah itu, 63.1 peratus memperoleh pekerjaan sepadan dengan bidang pengajian, manakala 11.3 peratus memilih menjadi usahawan dan 13.6 peratus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.