14 Feb pengurusan kes pesara hakim saman kerajaan, PM

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Feb pengurusan kes saman yang difailkan oleh 35 individu terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi termasuk di Sabah dan Sarawak serta tujuh balu bekas hakim memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lain berhubung kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah diterima mereka sejak 2015.

Semakan dalam sistem mahkamah mendapati pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 9 pagi.

Dalam saman itu, seramai 28 pesara hakim dan tujuh balu bekas hakim memfailkan saman terhadap kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) Akta 45.

Plaintif juga berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta terbabit tetapi ia dipadamkan daripada akta itu menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

“Di bawah peruntukan Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

“Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim yang masih berkhidmat,” seperti yang dinyatakan dalam saman itu.

Plaintif berkata keadaan itu menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Jan 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada sepatutnya.

Menurut mereka, Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikan beliau selepas pelantikannya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara – Ismail Sabri
Next post Pasca COVID-19: Graduan perlu lebih fleksibel dan versatil
Ubah saiz-+=