14 individu ‘Geng Nicky’ bebas tuduhan jenayah terancang

PUTRAJAYA, 7 Julai – Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan 14 individu termasuk dua adik kepada ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara membebaskan mereka selepas peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili 13 individu berkenaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi kesemua perayu supaya dibebas sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.

“Ini adalah keputusan sebulat suara, perintah Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan diketepikan. Dengan ini kesemua perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Hakim-hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan representasi kesemua perayu telah diterima dan dipertimbangkan oleh AGC. Seorang lagi perayu diwakili peguam Jasmine Cheong.

Seramai 14 individu itu termasuk empat warganegara China, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Sept 2021, yang melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan, kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan ke atas kesemua tertuduh pada masa akan datang.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20an hingga 56 tahun.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021, mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
tangkap layar lori rempuh Previous post Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan
jpj HRAA Next post JPJ Melaka jejak kesalahan jalan raya guna kaedah penyamaran