tangkap layar lori rempuh

Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Polis menahan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pukul 9.25 pagi tadi adalah berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

“Lori dipandu individu itu telah hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.

“Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing.

Katanya selain lori berkenaan, sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

Bagaimanapun, Raub berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
WhatsApp Image 2022-07-07 at 12.33.50 PM Previous post Ayuh sokong Kempen Kekalkan Harga Barang
Next post 14 individu ‘Geng Nicky’ bebas tuduhan jenayah terancang