Ayuh sokong Kempen Kekalkan Harga Barang
JASIN 6 Julai- Peniaga di negeri ini diminta untuk bersama-sama menunjukkan sokongan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menjayakan kempen Kekalkan Harga Barang.
EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, KPDNHEP Melaka sudah turun padang menemui dan mendekati pihak yang terbabit termasuk pemborong dan pembekal.
Katanya, kempen itu adalah langkah komited agensi itu dalam membantu pengguna susulan terdapat beberapa kenaikan harga barang selain mengelak daripada ada pihak cuba ambil kesempatan.
“Sudah ada peniaga yang berminat dan menunjukkan sokongan untuk kekalkan harga jualan seperti sebelum ini.
“Kini KPDNHEP sedang melakukan pemutihan atau tapisan terhadap kira-kira 40 peniaga yang menyatakan minat mereka untuk sertai kempen ini,” katanya.
Menurutnya, tapisan itu dilakukan bagi membolehkan KPDNHEP melihat dari segi kriteria barang yang ingin dikekalkan harga dan mereka boleh beri jaminan mengekalkan bagi semua jenis barangan dijual.
Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Melaka menjadi negeri pertama melancarkan kempen Kekalkan Harga Barang.
Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, kempen itu diadakan bertujuan untuk mengharmonikan harga pasaran selain mengelakkan tindakan tidak bertanggunjawab segelintir peniaga menaikkan harga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.