Awas, jenayah ‘scammer’ membimbangkan di Melaka!

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

BUKIT BERUANG 7 Julai – Kes jenayah membabitkan penipuan di Melaka meningkat dalam tempoh Jan hingga Jun tahun ini dengan lebih RM17 juta kerugian direkodkan berbanding RM14.4 juta tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah kerugian itu direkodkan selepas pihaknya menyiasat sebanyak 762 kes penipuan dalam tempoh enam bulan tahun ini, meningkat 35 peratus berbanding 565 kes direkodkan tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, antara tiga kes tertinggi membabitkan penipuan termasuk pinjaman tidak wujud, belian atas talian dan pelaburan dengan jumlah keseluruhan kerugian direkodkan lebih RM8 juta pada tahun ini berbanding lebih RM10 juta pada tahun lalu.

“Bagi pinjaman tidak wujud, sebanyak 98 kes dicatatkan pada tahun ini berbanding 107 kes pada tahun lalu manakala kes melibatkan belian ‘online’ mencatatkan 115 kes tahun ini berbanding 127 kes pada tahun lalu.

“Bagi jenayah pelaburan merekodkan sebanyak 107 kes tahun ini, meningkat 52 peratus berbanding tahun lalu dengan 70 kes.

“Jenayah penipuan atau ‘scam’ ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat hari ini malah ia turut membabitkan golongan profesional yang telah ditipu sehingga ratusan ribu ringgit,” katanya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan ‘Pride of Workmanship’ kepada Frontliners PDRM Kontinjen Melaka oleh Rotary International District 3300 Malaysia diadakan di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata pihaknya memandang serius di atas jenayah yang berlaku itu di negeri ini dan akan membanteras habis-habisan sehingga ke peringkat akar umbi dengan beberapa pelaksanaan akan diambil pihaknya.

“Perkara ini kita lihat serius dan kita bersama kontinjen Melaka ini akan terus turun ke padang, dekati masyarakat sehingga ke kawasan perkampungan untuk beri pendedahan kepada mereka tentang isu ‘scam’ yang berlaku ini.

“Kita akan dedahkan bagai mana modus operandi mereka agar mereka faham taktik yang digunakan mereka agar terhindar daripada menjadi mangsa kepada jenayah penipuan ini,” tegasnya.

Terdahulu program yang diadakan itu pihaknya telah menerima penyerahan replika cek bernilai RM3,000 dari gabenor delegasi berkenaan, Datuk Bindi Rajasegaran sebagai penghargaan menerima Anugerah ‘Pride of Workmanship’.

Dalam sesi itu, kesemua anggota polis yang terlibat memperjuangkan barisan hadapan ketika penularan pandemik COVID-19 menerima sijil penghargaan dari persatuan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1788
Kongsi :
Previous post JPJ siasat lori rempuh beberapa kenderaan di JB – Woodlands – Wee
Next post Ayuh sokong Kempen Kekalkan Harga Barang
Ubah saiz-+=