Sorting by

×

MENARA TELEKOMUNIKASI KE-450 MELAKA BEROPERASI

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Jun – Melaka melakar satu lagi pencapaian dalam aspek pembangunan digital negeri apabila menara telekomunikasi ke-450 di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah, siap dibina dan mula beroperasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan Kerajaan Negeri yang mentadbir hari ini tidak sekadar bercakap berhubung pembangunan digital tetapi melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembangunan infrastuktur berkaitan agar perkembangan teknologi semasa dapat dirasai sendiri rakyat di peringkat akar umbi.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu jurang digital memisahkan masyarakat bandar dan luar bandar berikutan itu fokus diberikan kepada usaha berterusan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan jalur lebar 4G dan 5G seluruh Melaka.

Menurut beliau hasil daripada perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang konsisten, Melaka telah berjaya mencapai 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, manakala liputan 5G kini telah mencecah 89.9 peratus.

“Menara setinggi 60 meter ini dibina oleh Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), mengikut perancangan jumlah menara akan dibina adalah 420 buah tetapi melebihi sasaran iaitu 450 buah sehingga ke hari ini di seluruh Melaka.

“Pembinaan menara ini bukan sekadar menambah sebuah struktur telekomunikasi, tetapi merupakan pelaburan strategik untuk masa depan rakyat dengan menawarkan liputan rangkaian lebih meluas, stabil dan berkualiti kepada penduduk sekitar Kampung Seri Jeram, Taman Seri Jeram, Taman Jeram Perdana, Jalan Lubok Redan Masjid Tanah, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Taman Seri Paya Rumput serta Kampung Paya Rumput,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Katanya, tahap liputan yang rendah di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan semua urusan berkaitan jalur lebar menjadi perlahan hingga kerap membantutkan urusan penduduk sekitar.

“Alhamdulillah, hasil usaha yang dilaksanakan secara berterusan, Kampung Jeram dan Kampung Pulau bukan sahaja telah menikmati liputan 4G sepenuhnya, malah kini turut menerima kemudahan teknologi 5G yang menawarkan pengalaman digital yang lebih pantas serta berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS: 7,000 KAMPIT BERAS PERCUMA MENANTI ORANG RAMAI
Next post MELAKA FOKUS TERUS TINGKATKAN CAPAIAN JALUR LEBAR, TELEKOMUNIKASI MUDAH ALIH