
PELABURAN CIPTA LEBIH BANYAK PEKERJAAN UNTUK ANAK MELAKA
GADEK 15 Jun – Pelaburan masuk ke negeri ini dianggap lebih bermakna apabila anak-anak Melaka mendapat peluang pekerjaan dan membina kerjaya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, berikutan itu beliau amat komited memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan.
Katanya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu pelabur datang ke Melaka terpikat dengan tapak perindustrian yang strategik tetapi tertarik tenaga kerja mahir yang berkualiti.
“Dalam memastikan lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang cekap dan responsif melalui pelbagai dasar mesra pelabur termasuk inisiatif Melaka Industrial Booster (MIB),” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan (Painting Line) milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah; Lembaga Pengarah EPMB Ong Tsuey Yun dan Ketua Pegawai Perolehan Great Wall Motor Meng Xiang Jun.
Sehubungan itu Ab Rauf berharap agar EPMB terus membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak Melaka untuk membina masa depan dalam industri automotif yang semakin berkembang .
“Saya percaya fasiliti Painting Line ini akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkukuhkan kedudukan Melaka dalam rantaian industri
automotif negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

