
PERPADUAN JADI WARISAN TELOK MAS
TELOK MAS 16 Jun – Penganjuran Majlis Malam Lestari Warisan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas bukan sekadar acara makan malam, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, khususnya kaum Cina dan India di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program berkenaan membuktikan masyarakat pelbagai kaum di DUN itu terus hidup dalam suasana harmoni meskipun berbeza adat, budaya dan bahasa.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, semangat perpaduan yang telah sekian lama terjalin perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang demi memastikan keharmonian masyarakat kekal utuh.
“Majlis Lestari Warisan menyantuni lebih 600 masyarakat berbangsa Cina dan India dalam DUN Telok Mas, yang mana kita mahu tunjukkan bahawa meskipun mempunyai pelbagai perbezaan namun keharmonian itu yang menghidupkan Telok Mas.
“Kita juga mahu tonjolkan meskipun terdapat pelbagai isu yang dilihat boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan di luar, namun masyarakat DUN Telok Mas masih berjaya mengekalkan muafakat dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Malam Lestari Warisan yang berlangsung di Tokong Cheng Wah Keong, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Sdn Bhd, Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.
Menurut Abdul Razak, kejayaan menganjurkan program berteraskan perpaduan seperti itu membuktikan rakyat di Telok Mas sentiasa mengutamakan nilai hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pelbagai program pembangunan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan di DUN berkenaan.
“Sepanjang saya memikul amanah sebagai Adun Telok Mas saya akui terdapat kekurangan dan memohon maaf atas segala kelemahan. Pada masa sama, saya jutaan terima kasih perlu saya sampaikan kepada semua yang telah memberi sokongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

