Sorting by

×

‘AL FATEH PASTI TERSENYUM DI TAMAN SYURGA’ – KEMBAR TIGA PENGUBAT RINDU MOHD FIKRY, ISTERI

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Selepas setahun diuji dengan kehilangan anak lelaki, Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, berkongsi berita gambira apabila dikurnia kembar tiga perempuan.

Berita itu dikongsikan Mohd Fikry di laman Facebooknya selepas isterinya selamat melahirkan cahaya mata mereka di Hospital Melaka, semalam.

Menurutnya, kembar tiga mereka dilahirkan pada jam 9.40 pagi Jumaat secara pembedahan caesarean dan kesemuanya dalam keadaan baik dan sihat.

“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan staf Hospital Melaka yang telah melaksanakan tugas dan amanah selama 73 hari isteri saya berada di dalam wad untuk pemantauan hospital sehingga tiba saat untuk isteri saya melahirkan anak-anak kami.

“Semoga Allah SWT membalas jasa kalian dengan pahala berganda dan dijadikan asbab untuk kita semua masuk syurga tanpa hisab,” katanya.

Tahun lalu, negara digemparkan dengan berita kematian Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, berusia lapan bulan, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama.

Berita itu mengundang hiba orang ramai memandangkan bayi itu ditunggu selama 13 tahun oleh pasangan ini dan baru sahaja lima hari dihantar ke taska berkenaan.

Lebih menyedihkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bayi itu dibedung, disumbat botol susu, selain mukanya ditutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh pengasuh taska berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Fikry turut menjunjung kasih ke atas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di atas kurniaan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku diatas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang telah mendoakan untuk kesejahteraan kami,” katanya.

Dalam hantaran sama, Mohd Fikry turut mengenang dan meluahkan rasa rindu terhadap anak sulungnya yang kini sedang bermain di ‘taman syurga’.

“Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy dan daddy dia sekarang.

“Hari Jumaat Al Fateh dijemput menghadap Pencipta-Nya, dan Jumaat juga ALLAH hadirkan puteri-puteri adik Al Fateh kepada kami. Perancangan ALLAH SWT adalah yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post PENGORBANAN IBU BAPA, GURU TERAS KEJAYAAN PELAJAR – KM
Next post MELAKA PECAH REKOD ONDE-ONDE TERBANYAK, USAHA POPULARKAN KUIH TRADISI