1,500 Jalur Gemilang berkibar di Bandaraya Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

MELAKA 5 Ogos – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan itu dengan mengibarkan bendera Malaysia.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, setakat ini sejumlah 1,500 Jalur Gemilang itu telah dipasang di sekitar kawasan tumpuan di Bandaraya Melaka.

Katanya, ia termasuklah Jalur Gemilang gergasi berukuran 30×15 kaki yang dikibarkan di Dataran UTC bagi menyemarakkan sambutan tahun ini.

“Sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Bandaraya Melaka Bersejarah, MBMB telah mula mengibarkan Jalur Gemilang bermula 27 Julai lalu.

“Jalur Gemilang ini telah dipasang khususnya di bangunan-bangunan kerajaan, bangunan-bangunan warisan, rumah-rumah ibadat, pusat-pusat sukan dan taman rekreasi.

“Ia turut mendapat kerjasama dengan bangunan milik swasta dan persendirian untuk menaikkan jalur gemilang di premis masing-masing bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ tahun ini, beliau turut mengharapkan seluruh warga Bandaraya Melaka bersama-sama mengibarkan jalur gemilang di kediaman ataupun premis masing-masing.

“Ini bagi menzahirkan rasa kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara. Ayuh semua, sama-sama kibarkan jalur gemilang!,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Lebih 15 peniaga kecil terima barang asas meniaga
Next post Tiga maut, empat cedera nahas tiga kenderaan di Rompin
Ubah saiz-+=