Tiga maut, empat cedera nahas tiga kenderaan di Rompin

KUANTAN, 5 Ogos – Tiga lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada pukul 8.50 malam itu melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

“Mangsa yang maut ialah kelindan treler Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat, Johor; pemandu Iswara Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan penumpang belakang kereta itu Zairulzaimy Jambi, 18, dengan kedua-duanya beralamat di Pekan, dekat sini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Khairol dari arah Segamat terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta Axia yang juga dari arah Segamat.

“Impak kemalangan menyebabkan treler tersebut jatuh ke cerun di sebelah kanan jalan. Mangsa yang cedera termasuk pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia,” katanya.

Mohd Azahari berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

14

Share and Enjoy !

Shares
Previous post 1,500 Jalur Gemilang berkibar di Bandaraya Melaka
Next post Seleweng diesel untuk pasaran gelap