Seleweng diesel untuk pasaran gelap

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PAYA RUMPUT 5 Ogos – Sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong yang menyeleweng minyak diesel bagi tujuan jualan di pasaran gelap tumpas selepas diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, petang semalam.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menemui 12,000 liter diesel bersubsidi yang ditempatkan dalam tangki simpanan khas sebelum dipercayai dijual kepada pihak industri dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, premis berkenaan disyaki menggunakan taktik membawa lori satu hingga tiga tan yang membawa tangki khas dengan ditutupi kanvas sebelum membeli diesel berharga RM300 hingga RM500 pada setiap hari.

“Dalam serbuan ini, selain menemui 12,000 liter, kita juga menemui sebuah lori tangki, dua tangki aluminium dan 20 tangki tambahan yang dianggarkan bernilai RM186,000.

“Ini boleh dikatakan rampasan terbesar diesel di Melaka pada tahun ini.

“Berdasarkan siasatan, kita percaya kegiatan ini sudah dilakukan lima ke enam bulan lalu memandangkan stor berkeluasan lebih setengah ekar sudah dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti pendingin hawa, peti ais, tempat memasak dan lain-lain,” katanya pada sidang media di stor haram itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, kumpulan berkenaan dipercayai menjual diesel bersubsidi RM2.15 seliter pada harga lebih RM4.00 untuk pihak industri yang mana harga itu jauh lebih murah memandangkan harga diesel bagi kegunaan industri berharga RM5.15 seliter.

STOR haram yang menjalankan kegiatan penyelewengan diesel.

Pada masa sama, beliau berkata, KPDNHEP juga percaya kegiatan itu sudah mendapat permintaan tinggi daripada pihak industri yang mahu membeli bahan api itu dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

“Jadi kita memberi amaran kepada pihak industri, tolong jalan beli di pasaran gelap kerana jika ditangkap hukuman berat akan menanti mereka di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana mereka boleh didenda RM1 juta bagi individu bagi kesalahan pertama.

“Kita juga meminta pihak stesen minyak sentiasa memantau lori-lori mencurigakan yang berulang kali mengisi stesen minyak di stesen sama dalam usaha membanteras isu penyelewengan seperti ini,” katanya.

Norena berkata, seramai lima individu yang ditahan dalam serbuan itu termasuk dua warganegara asing berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an kini direman selama tiga hari bermula hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2055
Kongsi :
Previous post Tiga maut, empat cedera nahas tiga kenderaan di Rompin
Next post Anggota bomba kurang terlibat rasuah
Ubah saiz-+=