Sorting by

×

Anggota bomba kurang terlibat rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Kes berkaitan integriti termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan pegawai dan anggota bomba di negara ini semakin menunjukkan penurunan saban tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, berdasarkan data yang diterima, masalah berkaitan integriti membabitkan anggota dan pegawai JBPM menunjukkan penurunan 50 peratus dalam empat tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, penurunan itu bertitik tolak daripada gerakan pemerkasaan integriti yang dijalankan sejak tahun 2013 bertujuan menyedarkan pegawai dan anggota mengenai apakah perkara-perkara yang dilarang sepanjang berkhidmat.

“Dari segi kes-kes melibatkan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan kebocoran maklumat itu memang kita lihat semakin menurun saban tahun dan kita harap ia akan berterusan.

“Ini kerana kita tidak akan sama sekali bertoleransi dengan mereka yang terlibat dalam sikap sedemikian memandangkan integriti dalam kalangan anggota bomba amat penting.

“Sebagai contoh, untuk respon kecemasan, sekiranya tiada nilai-nilai integriti yang tinggi sudah tentu tugas itu tidak boleh dilaksanakan dengan baik dan cekap, yang mana pada akhirnya ia boleh menyebabkan kerugian pada aset dan juga menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) Siri 1/2022 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.

Hadir sama Ketua Unit Integriti JBPM Morni Mamat dan Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan memaklumkan JBPM telah menerima pensijilan ISO 37001 ‘Anti-Bribery Management Systems’ (ABMS) pada 2021 khas membabitkan unit-unit yang sensitif serta mempunyai risiko intergriti yang tinggi.

Beliau berkata, usaha itu akan dikembangkan di peringkat negeri dan zon bagi membolehkan pensijilan sama diterima sekali gus menyahut seruan kerajaan mempertingkatkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti.

“Ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat cekap, bersih dan beramanah.

“Jadi, kita akan kembangkan program BiGIAR ini di zon-zon lain terutama di bahagian Utara dan Tengah Semenanjung Malaysia yang mana kita juga akan melibatkan lebih banyak agensi yang lain,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1668
Kongsi :
Previous post Seleweng diesel untuk pasaran gelap
Next post Mahkamah tolak permohonan Indira Gandhi untuk memulakan prosiding terhadap KPN
Ubah saiz-+=