Sorting by

×

1,500 KANAK-KANAK BAKAL ‘NAIK HAJI’ BERSAMA ‘WAIBEE HELMY’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Seramai 1,500 kanak-kanak bakal merasai pengalaman ‘naik haji’ menerusi penganjuran Program Kembara Ke Baitullah, dijadualkan berlangsung di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, 17 Mei ini.

Program dijadualkan dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu dianjurkan Warnakala Studios, syarikat produksi terkenal dengan francais animasi Didi & Friends yang turut melibatkan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mohd Noor Helmy berkata, keterlibatan beliau dalam program tersebut diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya ketika menunaikan haji tahun lalu.

“Saya tersentuh melihat kehadiran ramai kanak-kanak di tanah suci dan menyedari betapa pentingnya memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai ibadah haji.

“Jadi saya berfikir bagaimana kita boleh tanamkan keinginan itu sejak kecil, bukan sekadar dengan perasaan, tetapi melalui pemahaman dan penghayatan supaya mereka mula menyimpan serta merancang untuk ke sana,” katanya.

Beliau berkata objektif utama program ialah memperkenalkan Rukun Islam kelima secara menyeluruh kepada anak-anak dengan pendekatan simulasi hampir menyerupai persekitaran sebenar di tanah suci.

“Kita tidak mahu mereka sekadar tahu haji itu wajib. Kita mahu mereka faham, hayati dan benar-benar bersedia suatu hari nanti.

“Setakat ini, sebanyak 1,200 penyertaan telah diterima dan pihak penganjur sedang berusaha untuk membuka penyertaan sehingga 1,500 peserta bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk mengambil bahagian.

“Menariknya, program ini terbuka kepada penyertaan dari seluruh negeri dan tidak terhad kepada anak-anak di Melaka sahaja. Beberapa sekolah dari luar negeri turut mengesahkan penyertaan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berkata program turut diisi dengan segmen rohani seperti Tazkirah Malam Jumaat yang menyentuh pelbagai aspek ibadah haji secara mendalam.

“Malah, elemen pengalaman turut ditambah dengan wangian khas seperti di Raudhah, bagi membolehkan peserta benar-benar merasai suasana spiritual.

“Saya mahu anak-anak tahu bahawa kita sentiasa bersama mereka. Walaupun hanya simulasi, ia memerlukan semangat dan usaha.

“Orang ramai yang berminat masih berpeluang untuk menyertai dengan mengimbas kod QR yang disediakan, namun tempat adalah terhad,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post ‘KECIK’ DIMINTA SERAH DIRI
Next post KERANI RUGI RM685,000 DITIPU SINDIKET PELABURAN DALAM TALIAN