
BUDAYA KERJA M.E.L.A.K.A PACU PENJAWAT AWAM LEBIH CEKAP, RESPONSIF
SERI NEGERI 11 September – Budaya kerja berteraskan nilai M.E.L.A.K.A atau Mesra, Empati, Laju, Akal, Kerjasama dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan atau ‘Agile’ akan diberi penekanan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap jabatan dan agensi bukan sahaja melaksanakan tugasan dengan pantas, malah berupaya mencari penyelesaian secara kreatif serta bertindak responsif terhadap keperluan rakyat.
Katanya, elemen Kerjasama turut menjadi aspek penting memandangkan pelaksanaan sesuatu projek dan penyampaian perkhidmatan membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Sebagai agensi yang ada di peringkat negeri, Persekutuan, agensi dan GLC, kita memerlukan kerjasama semua dalam melaksanakan kerja sebagai satu pasukan.
“Pada masa sama, kita perlu fleksibel dan adaptif dengan perubahan semasa, lebih-lebih lagi dalam dunia digital ketika ini supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Melaka.
“Jadi sebab itu pendekatan M.E.L.A.K.A ini penting dan terpakai untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Perjumpaan SUK Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat @Limat; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Salhah berkata, pendekatan itu selari dengan usaha memastikan perkhidmatan awam kekal relevan, cekap dan dekat dengan rakyat, selain mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Pendekatan M.E.L.A.K.A yang diperkenalkan ini memberi imej baharu kepada kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Melaka dan menjadi panduan serta budaya kerja baharu kepada semua penjawat awam negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

