MCDU BAKAL TANGANI ‘PROJEK SAKIT’ DI MELAKA – SUK

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 11 September – Kerajaan Negeri bakal menubuhkan unit khas Melaka Coordination and Delivery Unit (MCDU) hujung bulan ini bagi memberi fokus kepada pemantauan dan penyelarasan projek bermasalah atau ‘projek sakit’ di Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh berkata, unit berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada projek yang berdepan isu pelaksanaan, selain menyelaras tindakan penyelesaian bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, penubuhan MCDU akan menggunakan perjawatan sedia ada daripada agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang akan disusun semula bagi membolehkan fungsi pemantauan serta penyelarasan projek dilaksanakan dengan lebih fokus.

“Unit MCDU ini akan melihat perjawatan sedia ada dan kita akan selaraskan untuk diasingkan sebagai satu unit yang akan memantau serta menyelaras projek-projek yang ada isu.

“Unit ini akan menyelaras usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek, terutama projek sakit di negeri ini.

“Bila kita beri pemantauan yang khusus, insya-Allah kita boleh cuba mencari penyelesaian bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Perjumpaan SUK Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat @Limat; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Salhah berkata, pemantauan secara khusus membolehkan tindakan terhadap masalah dan isu yang mengganggu pelaksanaan projek dikenal pasti serta diselesaikan dengan lebih cepat.

“Kita jangkakan penubuhan unit baharu ini menjadi langkah memperkemas mekanisme pemantauan projek Kerajaan Negeri supaya isu kelewatan dapat ditangani dengan lebih tersusun dan berfokus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post MELAKA CADANG TUBUH MCDU PANTAU PELAKSANAAN SEMUA PROJEK, INISIATIF