
PRN MELAKA: WAKTUNYA TAK BERAPA PANJANG, TAK BERAPA PENDEK
KUALA LUMPUR 11 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberikan bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubarkan tidak lama lagi, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Ab Rauf berkata, gerak kerja bagi menghadapi PRN juga sudah bermula sejak dua tahun lalu dan kini pihaknya sedang melakukan persiapan akhir bagi menghadapi proses demokrasi itu.
“Insya-Allah tak lama lagi. Bila tiba waktunya nanti saya akan umumkan, tapi waktunya tak berapa panjang dan tak berapa pendek,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai sebarang bentuk kerjasama strategik politik pada PRN kelak, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, ianya berteraskan kepada BN Plus.
Pada masa yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara ini sekali lagi menegaskan tidak akan berkompromi berhubung 21 kerusi yang akan dipertahankan BN.
“Kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk pilih siapakah rakan strategik yang terbaik untuk Negeri Melaka. Tetapi kita tetap akan mempertahankan 21 kerusi dimenangi pada PRN nanti,” katanya.
Sebelum ini Melaka Hari Ini melaporkan Ab Rauf mengalu-alukan mana-mana pemimpin parti politik yang mahu mengadakan perjumpaan bagi membincangkan kerjasama pada PRN Melaka.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pada PRN ke-15 BN membentuk Kerajaan Negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan lima, manakala Perikatan Nasional dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


