
MPHTJ TEKAD PASTIKAN KUTIPAN HASIL KEMBALI KEPADA RAKYAT
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) komited memastikan hasil yang dikutip termasuk cukai taksiran diterjemahkan semula dalam bentuk perkhidmatan terbaik demi manfaat rakyat, selaras dengan amanat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya menyambut baik empat keutamaan yang digariskan Ketua Menteri kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, setiap hasil yang dikutip PBT bukan sekadar angka dalam rekod kewangan, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat melalui penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang berkualiti.
“Alhamdulillah, kita sudah mendengar amanat Ketua Menteri dan pihak MPHTJ akan menyahut saranan daripada Ketua Menteri untuk memastikan perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat adalah perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sapiah berkata, MPHTJ turut berhasrat mengekalkan momentum kecemerlangan menerusi pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, pengiktirafan itu penting kerana ia bukan sekadar menjadi kebanggaan organisasi, malah menjadi motivasi kepada seluruh warga MPHTJ untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“Memang kita sentiasa kena pastikan bahawa kita perlu dapat pengiktirafan setiap tahun, baik di peringkat baik, sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa,”
Terdahulu, dalam amanatnya, Ketua Menteri menggariskan empat keutamaan yang perlu menjadi fokus PBT sehingga penghujung 2026 termasuk mengoptimumkan aset sebagai pemacu hasil dan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


