
BAZAR RY JADI LOKASI BAHARU LEBIH 100 PENIAGA PASAR MALAM TAMAN SERI KRUBONG
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Lebih 100 peniaga Pasar Malam Taman Seri Krubong dipindahkan ke Bazar RY berikutan tapak asal mereka perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid baharu untuk kemudahan umat Islam di Kampung Tampoi.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata proses pemindahan ke lokasi baharu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tampoi.
“Pemindahan juga mengambil kira kesesuaian lokasi baharu bagi memastikan peniaga dapat terus mencari rezeki dan pendapatan mereka tidak terjejas, kadar sewa juga kekal RM5 sama seperti di tapak asal.
“Bagaimanapun, bersempena pembukaan tapak baharu ini, peniaga diberikan pengecualian bayaran sewa selama dua minggu bermula minggu ini dan minggu hadapan sebagai usaha membantu mereka menyesuaikan diri di lokasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar malam berkenaan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di sini, pada Isnin.
Hadir sama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Setiausahanya, Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas mengenai aspek lalu lintas di kawasan berkenaan, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, MBMB akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan penyelarasan parkir kenderaan dan aliran trafik dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, kewujudan Bazar RY bukan sahaja membantu peniaga terus menjana pendapatan, malah menjadi lokasi tumpuan penduduk sekitar termasuk masyarakat kampung dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran mendapatkan pelbagai keperluan.
“Saya berharap bazar ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada para peniaga serta penduduk setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


