
RAHMAD BAWA KHIDMAT KEBAJIKAN DEKATI RAKYAT AYER MOLEK
AYER MOLEK 6 Ogos – Penyediaan ambulans komuniti percuma, bantuan katil perubatan, kerusi roda serta baik pulih rumah menjadi antara inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek sepanjang lima tahun lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, menerusi Japerun Ayer Molek sebanyak 230 katil perubatan dan 160 kerusi roda telah disalurkan kepada penduduk memerlukan.
“Sebanyak 685 perkhidmatan ambulans komuniti percuma turut disediakan, selain lebih 1,000 ziarah kasih dilaksanakan bagi menyantuni masyarakat setempat.
“Kita juga telah membelanjakan lebih RM200,000 untuk kerja-kerja kecil membaiki rumah warga kampung yang memerlukan. Jumlah itu tidak termasuk peruntukan diberikan oleh jabatan dan agensi serta kes-kes melibatkan bencana yang keseluruhannya bernilai jutaan ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Molek yang disempurnakan oleh Ab Rauf di Medan Selera R&R Kampung Tambak Paya, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Rahmad berkata, komitmen mendekati rakyat dan menyelesaikan keperluan mereka akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
“Pendekatan turun padang secara penting bagi memahami denyut nadi rakyat selain memastikan setiap bantuan disalurkan benar-benar memberi impak kepada penerima,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

