
RUANG ‘SEPI’ JADI REZEKI RAKYAT MELAKA
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memuji usaha empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka yang semakin agresif mengoptimumkan aset di bawah pentadbiran masing-masing sehingga mampu menghidupkan ruang yang sebelum ini sepi dan kurang dimanfaatkan.
Beliau berkata, antara contoh terbaik pendekatan itu dapat dilihat menerusi transformasi yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Tapak Pinggiran Sungai MITC, Ayer Keroh.
Jelas beliau, kawasan yang dahulunya sekadar tapak parkir dengan khemah-khemah kecil penjaja itu kini tampil sebagai ruang niaga yang lebih tersusun, selesa dan kondusif untuk para penjaja mencari rezeki.
“Begitu juga dengan usaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang menghidupkan dataran masing-masing dengan pelbagai aktiviti pada hujung minggu.
“Ruang yang dahulunya sepi, kini menjadi lokasi tumpuan yang menarik kehadiran pengunjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Jelas Ab Rauf, itulah pendekatan yang mahu dilihat dan dibawa di Negeri Melaka, di mana pengurusan aset yang lebih strategik bukan sahaja berupaya menjana hasil, bahkan pada masa sama memastikan hasil tersebut dikembalikan semula kepada rakyat
“Oleh sebab itu, kita tidak mahu membiarkan aset yang sepatutnya menjana nilai terus menjadi liabiliti. Hidupkan ruang tersebut, bangunkan potensinya dan pastikan pulangannya dapat digunakan semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


