17 PPDK Melaka terima peruntukan lebih RM3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 16 Januari – Sejumlah lebih RM3 juta diperuntukkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Negeri Melaka bagi menampung kos perbelanjaan.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, anggaran peruntukan itu membabitkan tempoh 2023 sehingga Februari 2024 yang akan disalurkan kepada semua PPDK yang menyediakan perkhidmatan kepada orang kurang upaya (OKU).

“Pada 2023, anggaran peruntukan sebanyak RM3,038,310.60 iaiti bagi tempoh Mac hingga Februari akan disalurkan kepada semua 17 PPDK.

“Peruntukan yang diturunkan ini meliputi saguhati penyelia, saguhati petugas, elaun pelatih sama ada di pusat mahupun di rumah, sewaan dan utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Mini Karnival Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Melaka yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Burhanuddin Bachik, hari ini.

Menurut beliau, selain bergantung kepada peruntukan dari kerajaan, pengerusi juga perlu memainkan peranan dalam membantu mencari dana sama ada menerusi syarikat korporat mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dana itu penting bagi membantu mengadakan pelbagai program jadi pengerusi contohnya kena rajin untuk keluar dapatkan dana.

“Mungkin kita akan cadangkan juga untuk mewujudkan program angkat PPDK bersama agensi korporat ataupun pihak swasta, jadi menerusi ini ia dapat membantu,” katanya.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, pihaknya turut menyeru kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau OKU untuk tampil dan mendaftar bersama PPDK.

“Daftarlah, keluar bawa anak-anak ini ke hadapan dan jangan rasa malu kerana mereka perlu dibelai serta mendapat penjagaan yang sebetulnya.

“Alhamdulillah, sekarang ini maklum balas yang diterima dari ibu bapa agak baik kerana apabila berdaftar mereka bukan sahaja dapat mengikuti program dan kelas malah turut mendapat elaun bulanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2028
Kongsi :
Previous post Seorang maut, lima cedera akibat lumba haram
Next post Pulau Besar ‘dimurnikan’
Ubah saiz-+=