Pulau Besar ‘dimurnikan’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TELOK MAS 15 Januari – Seramai 300 peserta daripada beberapa agensi Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai Program Pemurnian Pulau Besar 2023, hari ini.

Program gotong-royong dan pembersihan pulau yang pertama kali diadakan pada tahun 2023 itu merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, program itu bukan sahaja memfokuskan kepada pembersihan, bahkan ia turut membabitkan pemasangan papan tanda larangan melakukan perbuatan tidak sopan di pulau berkenaan yang terkenal dengan jolokan ‘pulau keramat’.

“Sebanyak dua papan tanda telah dipasang di kawasan berhampiran surau dan makam di Pulau Besar bagi mengelakkan berlakunya lagi kejadian individu memakai pakaian menjolok mata seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Papan tanda itu antara lain turut mengingatkan pengunjung supaya tidak meminum arak dan membuat perlakuan tidak sopan, termasuk memakai pakaian menjolok mata kerana jika membabitkan orang Islam kita boleh mengenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pada masa sama, kita juga menggalakkan pengunjung bukan Islam mematuhi peraturan tersebut demi menjaga kesucian Pulau Besar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemurnian Pulau Besar 2023.

Hadir sama, Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka Azhar Yaacob.

IMG_20230115_195810
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Pemurnian Pulau Besar 2023 anjuran JAIM dan MAIM.

Dalam pada itu, Md Rawi berkata, Pulau Besar juga kini telah terhindar daripada menjadi tempat pemujaan dan aktiviti khurafat hasil penguatkuasaan berterusan yang dijalankan JAIM.

Katanya, walaupun tangkapan berkaitan kes khurafat dan pemujaan semakin berkurangan, namun pihaknya masih belum boleh berpuas hati, sebaliknya akan terus menggandakan operasi bagi mengekang perbuatan sama terus berulang.

“Saya mencadangkan agar akan ada pengawal yang bertugas 24 jam ditempatkan di kawasan makam Pulau Besar bagi memantau perkara ini.

“Pada masa sama, bahagian Dakwah JAIM juga akan turut sama mengedarkan risalah kepada pengunjung mengenai aktiviti yang tidak boleh dilakukan di Pulau Besar,” katanya.

Tambah Md Rawi sekiranya didapati ada pengunjung dikesan melakukan aktiviti khurafat dan pemujaan, mereka boleh dikenakan tindakan dengan hukuman denda RM2,000 dan penjara 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5787
Kongsi :
Previous post 17 PPDK Melaka terima peruntukan lebih RM3 juta
Next post Elak bawa unsur maksiat ke Pulau Besar
Ubah saiz-+=