Sorting by

×

Elak bawa unsur maksiat ke Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TELOK MAS 16 Januari – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan pengunjung yang datang ke Pulau Besar agar tidak berniat untuk melakukan maksiat atau perbuatan tidak sopan.

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata, sebagai pulau keagamaan yang paling lama wujud di nusantara, kesucian dan kemurnian itu perlulah dijaga oleh para pengunjung, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Tegasnya, antara perbuatan yang dilarang di pulau berkenaan termasuklah berkhalwat, memakai pakaian menjolok mata dan meminum minuman keras.

“Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah lagi berlaku tangkapan khalwat di Pulau Besar dan kita akan terus memantau bagi memastikan ia tidak akan berlaku.

“Lagipun, saya faham ramai yang datang tahu bahawa pulau ini bukan pulau biasa-biasa.

“Jadi, pesan saya, fikirlah banyak kali jika ada yang cuba untuk membawa unsur maksiat datang ke Pulau Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemurnian Komuniti Pulau Besar 2023, semalam, yang telah dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

IMG_20230116_015617
MD Rawi (tiga dari kiri) dan Che Sukri (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pemasangan papan tanda larangan perbuatan tidak sopan di Pulau Besar.

Mengulas mengenai insiden tular membabitkan pelancong asing yang dikesan memakai bikini di Pulau Besar, Che Sukri berkata, tindakan segera telah diambil pihaknya sebaik menerima maklumat daripada Rakan Setia JAIM (RASEIM).

Katanya, hasil siasatan mendapati perbuatan tidak bermoral itu dilakukan pelancong wanita dari Filipina yang datang bersama kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) ke pulau berkenaan.

Menurutnya, bagi kes sedemikian tindakan boleh diambil oleh pihak polis menerusi Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan yang menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.

Manakala untuk orang Islam tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka iaitu melakukan perbuatan tidak sopan.

Sementara itu, Md Rawi mencadangkan agar selain papan tanda peringatan, setiap bot yang membawa pelancong ke Pulau Besar juga perlu dipasang pelekat mengenai larangan melakukan perbuatan tidak sopan di pulau berkenaan.

“Kalau boleh kita tidak mahu membuat tangkapan, tetapi lebih baik jika kita mendidik dan beri kesedaran kepada orang ramai.

“Memandangkan Pulau Besar sudah kembali menjadi tumpuan, saya berharap semua yang datang dapat mematuhi ketetapan yang dibuat, selain bersama-salah menjaga kebersihan pulau peranginan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1421
Kongsi :
Previous post Pulau Besar ‘dimurnikan’
Next post Elak bawa unsur tidak sopan ke Pulau Besar
Ubah saiz-+=